PEMERINTAHAN Pakatan Harapan (PH) hanya bertahan selama 22 bulan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.
Bagaimanapun, Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih tampuk pimpinan negara bermula 1 Mac 2020 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Dalam tempoh 22 bulan itu, PH dilihat gagal menunaikan manifesto yang dilaungkan ketika PRU-14 seperti pemansuhan tol dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Situasi itu menyebabkan rakyat mula hilang kepercayaan terhadap PH yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP.
Menurut Ketua Biro Jaringan Nasional Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Mohd Ismath, sekiranya PKR mahu mendapat semula keyakinan rakyat, parti itu perlu mencontohi cara Umno.
"Jika Umno boleh bergerak sendiri dan menjenamakan semula jenama Umno selepas meninggalkan Bersatu dan PAS, saya kira PKR juga boleh ambil langkah sama dengan bergerak solo tanpa DAP serta PAN.
"Umno terbukti berjaya selepas meninggalkan PAS dan Bersatu. PKR juga pasti boleh berjaya selepas meninggalkan DAP dan PAN.
"Selepas Umno bergabung dengan PAS, undi Melayu lari banyak kerana rakyat tidak bersedia menerima PAS. PAS hanya diterima di negeri Pantai Timur, itu pun hanya Terengganu dan Kelantan.
"Bersatu pula kekal dengan identiti lembab dalam tindakan mereka menyebabkan rakyat benci kepada parti lompat tersebut," katanya menerusi catatan Facebook pada Jumaat.
ANWAR Ibrahim dilihat tidak relevan dalam kepimpinan PH. — Facebook
Tambah beliau, rakyat berkemungkinan menolak PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini kerana imej parti berkenaan yang dipalit dengan kelakuan serta kenyataan DAP dan PAN.
"Rakyat khususnya majoriti pengundi tidak bersedia menerima DAP dan PAN. Bukan kerana mereka terdiri daripada golongan kaum Cina, tetapi kerana kurang sensitiviti dalam mengeluarkan saranan dan idea.
"Idea-idea pemotongan subsidi dan bantuan di zaman PH semuanya daripada DAP dan PAN. Golongan miskin diketepikan apabila pemansuhan demi pemansuhan fasiliti dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu kepada rakyat.
"Rakyat jadi semakin benci apabila pemimpin PH ketika itu bercakap seolah-seolah berlagak suci dan prihatin tetapi di belakang mereka potong macam-macam.
"Kerajaan PH ketika itu memberikan pelbagai alasan mengapa perlu dipotong perbelanjaan sana sini untuk rakyat dengan alasan mahu membayar hutang negara walhal negara masih mampu menyediakan bantuan dan kemudahan untuk rakyat ketika itu.
"Isu hutang melambung itu akhirnya senyap. Kini baru kita tahu, walaupun sudah melebihi RM1 trillion hutang negara, negara tidak akan bankrap. Maka apa yang dikatakan oleh PH di zaman Mahathir hanyalah mitos semata-mata," ujarnya lagi.
Selain itu, dakwa Khalid, golongan Melayu yang merosakkan imej DAP.
"Mungkin kejutan budaya, dahulu berdarah Umno, kini bertukar DAP. Malah ada anak orang kuat Umno masuk DAP dan bawa budaya 'cybertrooper' kuno ke dalam DAP sehingga orang ramai tidak boleh lagi membezakan cara 'cybertrooper' Umno dan cara 'cybertrooper' DAP.
"Ketika Umno berubah ke arah mendidik cara kempen membawa isu kebajikan dan polisi ke atas rakyat, DAP pula mendidik cara kempen sentimen kepada masyarakat," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram