Dua penjenayah letupkan mesin ATM, larikan wang di Klang


  • Tular
  • Selasa, 08 Feb 2022

DUA penjenayah letupkan mesin ATM dalam sebuah kedai serbaneka sebelum bawa lari sejumlah wang di Klang. — Facebook/Mohd Nazri Ahmad

DUA penjenayah meletupkan sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) di dalam sebuah kedai serbaneka sebelum melarikan sejumlah wang dalam kejadian di pekan Meru di Klang, Selangor awal pagi Selasa.

Sebuah video berdurasi 20 saat yang tular di media sosial menunjukkan dua orang suspek tersebut pada mulanya berlegar di dalam kedai serbaneka terbabit.

Salah seorang daripada suspek kemudiannya dilihat memasang bahan letupan di mesin ATM sebelum kedua-dua mereka dikatakan lari seketika untuk berlindung.

Beberapa saat kemudian, letupan berlaku dan kedua-dua suspek kemudiannya berlari ke arah mesin terbabit sebelum melarikan wang.

Video kejadian tersebut yang dikongsikan akaun Facebook Paradise Generation sebelum tular.

"Pergh dah upgrade dah perompak kita," tulis seorang warga maya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat dari orang awam kira-kira pukul 4.50 pagi.

"Sepasukan anggota polis terdiri daripada kereta peronda dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah telah menghala ke lokasi dibantu oleh pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Katanya, nilai kerugian belum dapat dipastikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bahan letupan, atm, rompakan, kedai serbaneka