
MALAYSIA bakal menjadi masyarakat yang semakin tua kerana 15 peratus daripada populasi penduduk negara ini akan berumur 60 tahun ke atas dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, perkara yang mencetuskan persoalan adalah sama ada masyarakat negara ini sudah bersedia.
"Kita sudah berdepan beberapa isu dan jika kita tidak menanganinya sekarang, masalah itu hanya akan menjadi lebih serius menjelang 2030.
"Kesihatan adalah isu utama bagi hampir semua orang yang berumur 60 tahun ke atas.
"Kerajaan harus menyediakan pemeriksaan perubatan tahunan percuma dan pemeriksaan berkala serta rawatan di hospital kerajaan.
"Selain itu, kerajaan juga perlu menambah alat bantuan seperti alat bantu pendengaran, cermin mata dan kerusi roda secara bersubsidi. Ramai terutamanya golongan B40 mengalami masalah kewangan," ujarnya.
Laporan media baru-baru ini memaklumkan sekurang-kurangnya separuh daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya mempunyai RM10,000 dalam simpanan mereka pada usia persaraan.
"Nilai itu tidak mencukupi walaupun pada kos sara hidup hari ini. Perlu ada mekanisme keselamatan sosial untuk membantu mereka.
"Ini termasuklah subsidi atau diskaun khas untuk barangan runcit, bil utiliti dan perkhimatan penting lain.
"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mula merancang sekarang bagi warga emas kita.
"Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan penubuhan biro warga emas untuk melaksanakan semua perlindungan yang diperlukan bagi kesejahteraan penduduk yang semakin tua dan lanjut usia," menurutnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram