Pemerkasaan koperasi bantu tangani kenaikan harga barang


  • Primer
  • Selasa, 08 Feb 2022

SAMBUTAN 100 tahun koperasi 2022 akan berlangsung pada 12 Februari. — Awani

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) komited dalam membantu menangani permasalahan kenaikan harga barang makanan, antaranya melalui pemerkasaan koperasi yang terlibat dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukkan RM 1 juta bagi koperasi terlibat dalam bidang itu dan menggalakkan mereka untuk menjalankan perniagaan dalam bentuk contract farming yang tidak melibatkan orang tengah.

"Kita ada 15 koperasi yang berniaga secara contract farming, tapi mereka terlibat dengan syarikat-syarikat besar (seperti KFC dan CP). Bayangkan kalau kita boleh wujudkan koperasi menternak ayam, ikan dan sebagainya dan kita ada pusat pengumpulan dan kita beli sendiri, elakkan penglibatan orang tengah," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk 'Menuju 100 tahun Koperasi di Malaysia' terbitan Bernama TV malam Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan masyarakat untuk menubuhkan koperasi terutamanya bagi graduan.

"Kita juga akan bagi bantuan permulaan untuk mereka ini lebih bersemangat dalam menubuhkan koperasi dan syarat penubuhan juga telah diringankan, 20 orang sahaja dah boleh tubuh koperasi," katanya.

Sambutan 100 tahun koperasi pada tahun 2022 bertemakan '100 Tahun Gerakan Koperasi, Membangun Keluarga Malaysia' akan berlangsung pada 12 Februari 2022. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MEDAC, SKM, koperasi, harga barang, Noh Omar