PERBICARAAN kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan bermula 26 Julai 2022 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur di hadapan hakim lain.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes tersebut pada Selasa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata, kes itu dipindahkan dari Mahkamah Tinggi Jenayah lima (MTJ 5) untuk didengar di hadapan Hakim Muhammad Jamil.
"Tarikh bicara sebelum ini telah ditetapkan di MTJ 5 (Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh),” katanya yang turut memaklumkan akan memanggil 19 saksi pada perbicaraan kes itu.
Hakim Muhammad Jamil berkata, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini terpaksa dijadualkan semula kerana beliau perlu mendengar beberapa kes lain dan menetapkan 26 hingga 28 Julai, 8 hingga 11 Ogos, 5 hingga 8 September dan 3 hingga 6 Oktober 2022 untuk perbicaraan.
Hakim Ahmad Shahrir yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Sivil mulai Isnin, sebelum ini menetapkan perbicaraan bermula pada 6 April 2022.
Shahrir, 72, yang diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin, hadir pada prosiding pada Selasa.
Shahrir didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram