Bentuk sahsiah, kawal kendiri tangani jenayah siber — Ismail Sabri


  • Primer
  • Selasa, 08 Feb 2022

ISMAIL Sabri berkata, teknologi digital telah banyak membantu dan melancarkan aktiviti harian, namun masih lagi berlaku penyalahgunaan teknologi sehingga kini. — The Star

KELUARGA Malaysia perlu memainkan peranan dalam membentuk sahsiah dan kawal kendiri bagi menyemai serta mengukuhkan kesepaduan komuniti dalam ekosistem siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peranan tersebut perlu dimainkan agar ancaman dan jenayah siber dapat ditangani selain mewujudkan persekitaran siber yang positif dan sejahtera.

“Ketika negara dilanda pandemik Covid-19, kebanyakan ahli Keluarga Malaysia telah beralih ke arah penggunaan teknologi digital dalam setiap aspek kehidupan mereka.

“Keadaan ini menyebabkan berlakunya transformasi pada pola komunikasi dan sosial, namun situasi ini telah menyebabkan kebanyakan kita alpa untuk menjaga adab dan etika dalam dunia siber,” katanya.

Beliau berkata demikian di hantaran Facebooknya sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, teknologi digital telah banyak membantu dan melancarkan aktiviti harian, namun masih lagi berlaku penyalahgunaan teknologi sehingga kini.

Katanya, ia termasuk penggunaan internet dan media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan pelbagai jenis ancaman serta jenayah siber.

“Sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 edisi Malaysia yang bertemakan K.I.T.A. (komunikasi, inklusif, tanggungjawab, akrab) Siber, saya menyeru kepada Keluarga Malaysia supaya terus memupuk sikap kebertanggungjawaban ke atas diri sendiri dan orang lain.

“Perlu mengamalkan kaedah komunikasi, mengambil kira inklusif dan tanggungjawab di samping meningkatkan keakraban bagi membentuk komuniti digital yang harmoni.

“Selamat Hari Keselamatan Internet 2022, sentiasa bijak dan selamat. Bersama-sama ke arah kesejahteraan siber,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram