Saifuddin ucap tahniah kepada China atas penganjuran temasya Olimpik Musim Sejuk 2022


  • Primer
  • Sabtu, 05 Feb 2022

MENTERI Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah. — Bernama

MENTERI Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Sabtu mengucapkan tahniah kepada China selaku tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Dalam ucapannya di Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC), sempena sambutan Tahun Baharu Cina, beliau berkata, acara sukan pada malam Jumaat itu dimulakan dengan upacara pembukaan yang mengagumkan dan indah.

"Saya pasti ini akan menjadi satu lagi acara yang berjaya dianjurkan oleh China," katanya menerusi video pra-rakaman.

Teks ucapan beliau disediakan kepada media oleh Kementerian Luar (Wisma Putra).

Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Presiden MCCC, Datuk Tan Yew Sing.

Ketika menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina, Saifuddin berharap, pada tahun Harimau ini segala rancangan kerjasama antara Malaysia dan China akan terus diperkukuh dan dilaksanakan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata, China kekal sebagai salah satu rakan dagangan utama Malaysia, serta antara pelabur asing terbesar negara.

Dari Januari hingga November 2021, jumlah perdagangan Malaysia dengan China adalah RM378.95 bilion (US$ 91.55 bilion), meningkat 27.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya (RM329.77 bilion).

Jumlah eksport turut meningkat 19.7 peratus kepada RM171.99 bilion (US$ 41.54 bilion) manakala jumlah import meningkat 34.2 peratus kepada RM206.96 bilion (US$ 50.01 bilion), katanya.

Saifuddin berkata, ketika lawatannya ke China pada Disember 2021, Beijing dan Putrajaya telah bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengeluaran vaksin; perbadanan telekomunikasi digital serta penerbitan filem.

"Memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama telekomunikasi digital dan penerbitan filem antara kedua-dua negara kini berada di peringkat akhir.

Kami turut membincangkan kerjasama dalam sektor ekonomi digital dan keselamatan siber,” katanya.

Mengenai komuniti Cina di Malaysia, Saifuddin puas hati menyaksikan sokongan berterusan komuniti itu dalam pelbagai aspek kehidupan di negara ini sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia.

Beliau turut berterima kasih kepada pertubuhan masyarakat sivil Cina dan komuniti perniagaan seperti MCCC, atas peranan penting yang dimainkan mereka dalam pembangunan negara.

Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing 2022 berlangsung 4 hingga 20 Februari dan dianjurkan di tiga zon di China merangkumi Beijing, Yanqing dan Zhangjiakou. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram