JUMLAH jualan Proton pada Januari menurun kepada 4,453 unit (untuk jualan domestik dan eksport), pengurangan sebanyak 25.3 peratus dari bulan yang sama pada 2021 dengan anggaran pegangan pasaran domestik sebanyak 11.3 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, penurunan itu berpunca daripada kesan banjir yang teruk di Selangor pada penghujung 2021.
"Walaupun kilang pengeluaran Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim tidak terjejas akibat banjir pada Disember, vendor syarikat pula tidak bernasib baik. Ramai yang mempunyai kemudahan pengeluaran di Shah Alam terjejas oleh peningkatan air banjir.
"Ini mempunyai kesan langsung ke atas jumlah pengeluaran pada Januari, yang menyebabkan kekurangan unit untuk memenuhi pesanan. Keadaan ini ditambah lagi dengan lebihan stok yang minimum dari bulan sebelumnya kerana syarikat sedang berusaha untuk merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan pasaran.
"Proton, bagaimanapun, yakin dapat mencapai sasaran kami untuk 2022 berdasarkan unjuran pasaran serta rancangan jualan dan pemasaran untuk sepanjang tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Antara semua model, Proton X50 dan Proton X70 merupakan model pertama yang memulakan semula pengeluaran dan ini dapat dilihat dalam jumlah jualan Januari mereka.
Sebanyak 2,601 unit Proton X50 dan 799 unit Proton X70 telah dijual pada bulan lepas dan walaupun jumlah individu adalah sederhana berbanding bulan sebelumnya, jualan gabungan kedua-dua model meletakkan PROTON sebagai jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) nombor satu di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram