PERBINCANGAN dan penyelesaian situasi menang-menang antara penternak dan pengeluar dengan kerajaan Persekutuan perlu dicapai dalam memastikan kestabilan isu bekalan dan harga ayam mentah di negara ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kos operasi tinggi menyebabkan segelintir pengeluar atau penternak enggan mematuhi ketetapan harga yang diumumkan kerajaan pada kadar RM8.90 sekilogram (kg).
"Penetapan harga ini dipercayai tidak dapat menampung kos operasi pengeluar dan penternak dan ini sudah tentu akan memberi kesan dari segi bekalan ayam seperti mana yang berlaku membabitkan kekurangan bekalan telur ayam ketika ini.
"Kita minta perkara ini dibincangkan di peringkat kementerian bersama pembekal makanan, penternak dan pengusaha supaya mencari jalan penyelesaian perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2022, di Pusat Sukan Paroi, Negeri Sembilan pada Ahad.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri tidak mampu untuk memberikan subsidi kepada pengguna dan ini pastinya akan membebankan rakyat keseluruhannya.
Pada Sabtu, tinjauan Bernama di beberapa pasar sekitar Paroi mendapati rata-rata peniaga menetapkan harga ayam sekitar RM8.50 sehingga RM8.90 namun ada segelintir daripadanya menjual RM9.00 sekilogram.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan menetapkan harga runcit bagi ayam standard pada RM8.90 berkuat kuasa semalam hingga 5 Jun depan bagi menjamin kestabilan harga ayam dan harga makanan berkaitan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram