Pembeli lega harga baharu jualan ayam


  • Massa
  • Ahad, 06 Feb 2022

HARGA siling ayam mengalami penurunan sebanyak 20 sen bermula 5 Februari hingga 5 Jun. — Gambar hiasan/Bernama

PENURUNAN harga maksimum runcit bagi ayam standard kepada RM8.90 sekilogram (kg) oleh kerajaan bermula pada Sabtu (5 Februari), memberi sedikit kelegaan kepada penjual dan pembeli yang setiap hari berbelanja barang basah berkenaan.

Tinjauan Bernama di Pasar Chow Kit di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Ahad mendapati, rata-rata pengguna berpuas hati dengan penurunan sebanyak 20 sen dari harga jualan sebelum ini iaitu RM9.10.

Bagi suri rumah Jamilah Bibi, 57, beliau menyedari berlaku penurunan harga ayam dikuatkuasakan kerajaan bermula Sabtu, memandangkan hampir setiap hari dia ke pasar untuk membeli barangan dapur.

"Saya perasan kalaunya harga ayam dah turun sikit. Sebelum ini ia dijual agak mahal. Jadi bila kerajaan turunkan harga ayam, ia sedikit sebanyak membantu. Okaylah, harga sekarang bagi saya berpatutan,” katanya.

Pada masa sama, Idris Ibrahim, 42, yang bekerja sendiri bersyukur dengan penurunan sebanyak 20 sen itu, walaupun sedikit bersetuju dengan pandangan orang ramai berhubung jumlah penurunan yang disifatkan sebagai agak kecil.

"Memang jumlahnya kecil, tetapi sedikit sebanyak saya boleh jimat. Hari ini saya beli dua ekor ayam untuk stok seminggu. Tidak seberapa tapi ada,” katanya.

Menurut penjual ayam di pasar berkenaan Muhammad Arif Ali Amran, 23, harga ayam yang dikurangkan oleh pihak kerajaan, memberi kesan positif terhadap hasil jualannya bermula Sabtu.

"Saya gembira apabila harga ayam turun walaupun tidak banyak, sebab rata-rata pembeli yang datang hari ini (Ahad) membeli lebih daripada dua ekor.

"Selalunya pembeli sudah mempunyai bajet mereka sendiri sebelum membeli. Contohnya kalau berat seekor ayam sekitar dua ke tiga kilogram, harga seekor ayam akan lebih kurang RM17.80 atau lebih. Kalau harga ayam makin murah maka banyaklah pembelian yang akan dibuat, dan perkara ini agak mempengaruhi pembeli,” katanya.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama mendapati masih terdapat segelintir peniaga yang menjual barangan berkenaan dengan harga RM9.00 dan RM9.10 per kg, dan hasil temu bual dengan peniaga-peniaga yang enggan dikenali tersebut memberitahu, mereka terpaksa mengekalkan harga lama kerana mengambil kira kos upah pekerja.

Sementara itu, bagi Masdiana Ariffin, 37, pembantu pengurus sebuah restoran di ibu negara berkata, penurunan harga ayam tersebut membantu perniagaan keluarganya itu, yang menampung kerugian sebelum ini.

"Kami sebagai pengusaha restoran memang akan beli ayam secara pukal, sekitar 150 hingga 250 ekor sehari. Dari situ kami dapat penjimatan yang agak besar.

"Jadi dengan penjimatan ini, kami boleh guna untuk menampung kos-kos harga barang lain yang masih mahal, seperti sayur dan bahan dapur yang lain,” katanya

Dalam pada itu, bekalan jumlah ayam di pasar berkenaan didapati mencukupi, meskipun terdapat masalah kekurangan bekalan bahan mentah tersebut di beberapa lokasi dalam negara seperti di Selayang, Selangor; Georgetown, Pulau Pinang dan Kota Bharu, Kelantan seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Terdahulu, kerajaan menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (NACCOL), memutuskan harga runcit maksimum ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen kepada RM8.90 sekilogram, daripada harga siling RM9.10 yang ditetapkan bermula 5 Februari hingga 5 Jun. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram