‘Dua tahun kajian, hanya turun 20 sen?’


PENURUNAN harga siling ayam sebanyak 20 sen berkuatkuasa 5 Februari mengundang kecaman orang ramai. — Gambar hiasan/Bernama

ISU kenaikan harga ayam dan jaminan bekalan makanan terus menimbulkan keresahan dalam segenap pelusuk masyarakat.

Situasi pandemik Covid-19 yang masih belum reda turut memberi tekanan kepada rakyat negara ini.

Kerajaan pada 31 Januari lalu menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard RM8.90 iaitu pengurangan 20 sen daripada siling semasa sebelum itu, RM9.10 berkuatkuasa 5 Februari.

Pengumuman itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berhubung Industri Pengeluaran Makanan.

Namun, orang ramai dilihat melempar kemarahan susulan pengumuman itu berikutan rakaman mesyuarat itu yang dilihat 'gah' namun hanya mencapai sepakat untuk menurunkan harga ayam sebanyak 20 sen.

Tambahan pula, warganet turut mempertikaikan kerajaan menyediakan air mineral berjenama terkemuka sebagai hidangan ketika mesyuarat tersebut.

Menjelaskan isu berkenaan, seorang pengguna Facebook, Mudalib Uthman berkata, rakyat sebenarnya tidak marahkan kerajaan tentang hidangan air mineral tersebut sebaliknya penyelesaian yang diberikan oleh kerajaan berhubung isu harga ayam.

"Yang kita marahkan adalah selepas tiga kementerian dikerah, mesyuarat 'kemain' canggih, siap ada video, tapi hanya turun 20 sen.

"Kalau pergi pasar, beli ayam empat kilogram, baru dapat jimat 80 sen. Harga ayam naik beringgit-ringgit, makanan yang guna bahan ini pun ikut naik juga.

"Mana mahunya turun balik kalau harga siling ayam pun cuma kurang 20 sen.

"Teguklah air apa pun tapi minum air mineral mahal guna duit pembayar cukai dalam mesyuarat yang sepatutnya menyelesaikan masalah harga barang naik, kemudian hasilnya cuma kurang 20 sen? Ini menyebalkan," katanya.

Ujarnya lagi, rakyat menyuarakan isu tentang kenaikan harga dan jaminan bekalan ayam daripada awal pandemik Covid-19 namun mengambil masa dua tahun baru kerajaan bertindak.

"Rakyat kutuk mereka minum air mineral mahal, laju balut semua botol atas meja mesyuarat. Masalah pokok tak selesai," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram