PERANCANGAN jangka panjang adalah perlu untuk membina semula kekayaan memandangkan ekonomi global kembali stabil dalam era pasca-Covid-19, menurut pusat kewangan antarabangsa (IFC) terkemuka, Jersey Finance.
Pengarah Jersey Finance bagi Timur Tengah, Afrika dan India, Faizal Bhana berkata, banyak keluarga telah terjejas secara langsung ekoran pandemik, selain sejumlah operasi perniagaan mengalami penutupan atau bergerak lembap.
"Berikutan semua itu masih jelas dalam fikiran, keluarga-keluarga kini sedang mencari jalan untuk memastikan perancangan yang mantap demi masa depan supaya dapat memelihara dan melindungi legasi dan kekayaan mereka,” katanya.
Beliau berkata, dari segi kepentingan kelas aset, hartanah kekal sebagai pilihan utama yang kukuh, dengan ekuiti, terutama ekuiti tersenarai, semakin memperoleh minat yang pesat.
"Selain itu, ekuiti persendirian juga menyaksikan pertambahan minat memandangkan penilaian berada pada paras terendah dalam sejarah bagi sektor terpilih manakala dana ekuiti kekal sebagai pilihan popular,” katanya.
Faizal yang juga Ketua Kanan Kewangan Islam di IFC itu berkata, warga di seluruh dunia, termasuk Individu Memiliki Kekayaan Bersih Tinggi (HNWI), tidak terkecuali daripada mengalami kesan kemelesetan ekonomi yang mengakibatkan aliran tunai lebih rendah.
"Mereka yang sebelum ini menangguhkan perancangan jangka panjang, termasuk untuk pelaburan mereka, kini terpaksa merancang untuk masa depan.
"Inilah yang kedua-duanya sebagai langkah pemeliharaan kekayaan dan untuk memastikan pertumbuhan yang mampan, boleh jangka dan selamat,” katanya.
Ekonomi Malaysia telah mula pulih, sebarang kemunculan varian baharu Covid-19 berpotensi mengakibatkan ekonomi ini kembali mencatatkan perkembangan dengan gangguan, menurut pakar.
Mereka juga berkata, apabila sekatan perjalanan dilonggarkan dan industri berusaha menyambung operasi secara penuh pada 2022, syarikat multinasional yang telah melabur di Malaysia dalam tempoh dua tahun lepas diunjurkan melakukan peluasan dan meningkatkan operasi mereka pada tahun akan datang, yang membawa kepada lebih banyak peluang pekerjaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram