KEROSAKAN feri dan fenomena air laut surut di perairan Kuala Perlis, Perlis menyebabkan seramai 423 penumpang terkandas lebih tujuh jam di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi pada Rabu.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, kesemua penumpang tersebut dijadualkan menaiki Feri Star City 6 dari Langkawi ke Kuala Perlis, namun perjalanan tidak dapat diteruskan kerana feri berkenaan mengalami kerosakan.
Beliau berkata, pihak pengurusan konsortium kemudian telah bertindak menyediakan feri lain iaitu Bahagia 99 bagi membawa kesemua penumpang ke Terminal Kuala Perlis, bagaimanapun keadaan air laut pada masa itu sudah mulai surut.
"Pihak konsortium telah berbincang dan mengambil kata putus bahawa perjalanan feri perlu dilewatkan ke 10 malam memandangkan keadaan air laut mulai pasang kembali.
"Jika feri bergerak pada 3.30 petang bermakna feri akan sampai di Terminal Kuala Perlis ketika air laut sudah surut dan boleh berlaku kecelakaan di laut yang boleh membahayakan penumpang dan anak kapal,” katanya.
Beliau membuat penjelasan itu susulan penularan video sejak semalam mengenai keadaan tegang dan kecoh di Terminal Feri Penumpang Kuah apabila penumpang dikatakan tidak berpuas hati kerana jadual perjalanan feri dilewatkan.
Mengulas lanjut, Baharin berkata, kekecohan bermula sebaik sahaja pihaknya mengumumkan bahawa perjalanan feri dilewatkan ke 10 malam menyebabkan ada segelintir penumpang yang memarahi dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada petugas di terminal dan kru feri.
"Kekecohan masih berlaku sampai ke malam, ada penumpang yang tidak berpuas hati dan tidak boleh menerima keadaan itu sedangkan kita lewatkan feri kerana faktor keselamatan. Ramai yang bertempik dan mengeluarkan kata kesat,” katanya.
Difahamkan keadaan air laut surut di perairan Kuala Perlis menyebabkan semua perjalanan feri Langkawi-Kuala Perlis pada 10 hingga 13 Februari ini terpaksa dibatalkan, namun orang ramai masih boleh ke pulau peranginan itu dengan menaiki feri di Terminal Kuala Kedah. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram