Jangkitan kembali lebih 5,000, negara rekod 5,566 kes baharu Covid-19


  • Primer
  • Selasa, 01 Feb 2022

ANGKA semasa itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia bertambah kepada 2,876,324. — The Star

MALAYSIA merekodkan 5,566 kes jangkitan baharu Covid-19 pada Selasa, mencatatkan kenaikan berbanding 4,774 kes pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka semasa itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia bertambah kepada 2,876,324 kes sejak wabak itu bermula.

Tambahnya, daripada jumlah kes baharu itu, 51 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua.

"Daripada 5,566 kes itu, sebanyak 227 adalah kes import dan 5,339 kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 113 kes dan 59 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, sebanyak 3,187 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini ialah 2,787,190 orang.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, tujuh kluster baharu direkodkan dengan 318 kluster masih aktif setakat ini.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.15 dengan Kedah dan Johor masing-masing merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.17 setakat Isnin.

"Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemas kini pada jam 12 tengah malam setiap hari,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, Kes Harian, , Menaik, Noor Hisham, Kkm