
POLIS menggesa pengguna jalan raya yang mengalami masalah kenderaan supaya segera memaklumkan kepada pihak polis atau Plus Malaysia Bhd (Plus) supaya mereka dapat memberikan bantuan segera.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis sedang bekerjasama dengan Plus dan agensi kerajaan lain untuk berjaga-jaga semasa cuti Tahun Baharu Cina.
“Sentiasa pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan baik dan sekiranya terdapat sebarang masalah di jalan raya, jangan segan-segan maklumkan kepada pihak berkuasa atau Plus, kerana kami sedia menghulurkan bantuan, bersama-sama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Mereka yang terpaksa berhenti di lorong kecemasan juga harus berdiri di belakang rel pengawal lebuh raya bagi mengelak sebarang kemalangan tidak diingini, kerana terdapat beberapa kejadian yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan "Ops Selamat 17" sempena Tahun Baru Cina di plaza tol Kempas di Johor Bahru pada Ahad (30 Januari).
Tambahnya, polis juga telah mengenal pasti 45 lokasi hotspot di seluruh negeri dan akan menjalankan operasi harian di setiap satu kawasan bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.
“Operasi itu akan dijalankan di bawah ‘Ops Lancar’ di mana tumpuan adalah untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalan raya.
“Kami bersedia mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memandu di lorong kecemasan, memotong barisan di garisan berkembar, menggunakan telefon semasa memandu, memecut dan melanggar lampu merah,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram