
PAPAN tanda baharu telah dipasang di tapak bersejarah Perang Dunia Kedua Green Ridge, Kampar, Perak.
Pengerusi Malayan Historical Group (MHG), Shaharom Ahmad berkata, pemasangan papan tanda itu penting kerana ia memberi maklumat kepada pengunjung.
“Nampak pelik dan rasa seperti ada sesuatu yang kurang tanpa papan tanda di sini.
"Kami menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang berharap kami memasang papan tanda," kata Shaharom selepas melancarkan papan tanda baharu di sepanjang Jalan Ipoh-Kampar pada Sabtu.
“Ramai orang datang melawat tapak itu selepas papan tanda dipasang pada 2020 sebelum ia dicuri baru-baru ini,” tambahnya.
Papan tanda sebelum ini, yang diperbuat daripada logam, dilaporkan hilang akibat dicuri pada awal tahun ini.
Papan tanda yang menerangkan tentang tapak Perang Dunia Kedua Green Ridge itu dipercayai telah dijual sebagai sekerap.
Tapak pertempuran seluas 6.47 hektar itu merupakan bukti pertempuran hebat antara 1,500 tentera British menentang 4,000 tentera Jepun yang berlaku selama empat hari empat malam pada 30 Disember 1941 hingga 2 Januari 1942.
Peristiwa itu disifatkan sebagai salah satu detik bersejarah yang jarang berlaku kerana tentera Jepun kalah teruk selepas mara dengan mudah dari bahagian utara Semenanjung.
Pertempuran sengit di Tanah Melayu itu menyaksikan 150 askar British dan 500 tentera Jepun terkorban dikebumikan di kawasan itu.
Shaharom berkata, mereka terpaksa menggunakan papan tanda daripada bahan logam kerana ia lebih murah.
“Kami terfikir untuk memasang papan tanda gentian kaca namun kosnya tinggi.
“Jabatan Kerja Raya juga tidak membenarkan kami membina struktur kekal.
"Pemasangan papan tanda logam itu menelan kos kira-kira RM1,000.
"Kami berharap pihak berkuasa tempatan dan orang ramai akan membantu kami memerhati dan menjaga papan tanda itu.
"Kami sangat berharap ia tidak akan dicuri lagi," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram