PENDUDUK Pasir Mas di Kelantan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan Jalan Masjid Lama 3 berdekatan Sekolah Jenis Kebangsan Cina Yok Eng.
Dalam satu hantaran di grup Facebook Maklumat Pasir Mas, perkara itu disuarakan oleh pengguna bernama Jaa Ahmad yang meminta PBT memasang papan tanda dan penghalang longkang.
Katanya, PBT perlu memasang papan tanda di kawasan tersebut yang merupakan simpang tiga dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam.
"Minta pihak berwajib memasang papan tanda keluar masuk di kawasan cabang ini untuk memudahkan rakyat.
"Satu lagi, minta tolong buat pagar tepi longkang, bahaya kepada pengguna jalan lebih-lebih lagi pada waktu malam.
"Jangan tunggu ada kes jatuh parti baru nak buat pagar," katanya.
Dia turut memuat naik gambar lokasi yang dinyatakan dan memperincikan tindakan yang perlu diambil.
Kebimbangan yang disuarakannya itu turut mendapat perhatian beberapa pengguna lain.
Ada kalangan mereka mengatakan pernah kemalangan di kawasan itu akibat keliru dengan jalan keluar dan masuk terutamanya pada waktu malam.
Malah ada pengguna meminta PBT memasang lampu jalan dan bonggol bagi mengelakkan kemalangan yang lebih teruk berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram