SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan sangat prihatin baginda apabila diberitahu mengenai kegiatan tidak bermoral segelintir pengamal perubatan swasta di negeri berkenaan yang didapati menawarkan dan menjual sijil digital vaksin Covid-19 palsu kepada orang ramai.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office pada Sabtu, baginda turut menzahirkan rasa terkejut dengan modus operandi (MO) yang digunapakai oleh individu terlibat yang ditahan oleh Polis Selangor, iaitu seorang doktor pemilik sebuah klinik di Gombak dan 6 orang pembantu klinik, yang tergamak mencemarkan etika kerja perubatan profesional.
"Menerusi siasatan awal, selain daripada memalsukan sijil vaksin Covid-19 menerusi sistem aplikasi MySejahtera, individu terlibat turut memberikan suntikan kosong dengan membuang cecair vaksin Covid-19 yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan kepada 5,601 pelanggan yang terdiri daripada golongan anti-vaksin.
"Baginda telah meminta pihak-pihak berkuasa di Selangor supaya menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalahguna kuasa sebagai pengamal perubatan," titah Sultan Sharafuddin.
Baginda bertitah, semua yang terlibat harus dijatuhi hukuman paling berat jika didapati bersalah.
Lebih mendukacitakan baginda, ada dalam kalangan pengamal perubatan yang terlibat dengan kegiatan ini adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam, namun sanggup melakukan perkara yang keji dan berdosa demi memperoleh kekayaan segera.
"Baginda amat kecewa dengan perkembangan terbaharu ini yang boleh menjejaskan usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.
"Sekiranya kegiatan sebegini terus berleluasa, ditambah pula dengan kedegilan golongan antivaksin, bilakah kemelut wabak Covid-19 yang telah membelenggu dunia dan mengorbankan jutaan nyawa sejak 2 tahun lalu ini akan berakhir?" soal baginda.
Baginda bertitah, rakyat di negara ini tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan daripada penularan wabak penyakit seperti Covid-19, yang telah melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian.
Baginda juga berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk yang boleh berlaku terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram