Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Tun Abang Muhammad Salahuddin


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jan 2022

UCAPAN takziah Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong yang disiarkan di laman Facebook Istana Negara.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang meninggal dunia malam Jumaat.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian beliau dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negeri Sarawak dan negara," menurut hantaran berkenaan.

Abang Muhammad Salahuddin, 100, meninggal dunia pada 11.47 malam Jumaat di Pusat Perubatan Normah di Kuching, Sarawak akibat sakit tua.

Lahir pada 27 Ogos 1921, beliau merupakan individu pertama berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak sebanyak dua kali iaitu dari tahun 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram