SEORANG kerani jualan sebuah syarikat swasta didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di Kangar, Perlis pada Jumaat atas pertuduhan memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbitnya tahun lepas.
Majistret Kamaliza Md Zain menjatuhkan hukuman itu ke atas Asyraf Hafizuddin Abdul Jalil, 26, selepas dia mengaku bersalah ketika sebutan kes pada Jumaat.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Asyraf Hafizuddin didakwa memiliki 80 gambar lucah, 163 video lucah dan satu fail dokumen mudah alih (PDF) lucah di dalam telefon bimbit jenama Samsung A50 model SM-A505F/DS miliknya.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Jelempok Jaya, Kampung Utan Kandis, Arau, Perlis pada pukul 11.30 pagi, 31 Mac 2021.
Asyraf Hafizuddin didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Asyraf Hafizuddin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana ini adalah kesalahan pertama selain memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya serta baru melangsungkan perkahwinan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Fazril Sani Mohamed Fadzil memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram