Lima individu ditahan terbabit kes pergaduhan di Pulau Pinang


  • 112
  • Khamis, 27 Jan 2022

TANGKAP layar insiden pergaduhan yang berlaku Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang pada Rabu. — Facebook

POLIS Pulau Pinang menahan lima lelaki penarik kereta selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan melibatkan 20 individu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 26 hingga 50 tahun itu ditahan di George Town selepas pergaduhan berlaku.

Menurutnya, polis turut merampas senjata yang digunakan dalam pergaduhan tersebut iaitu topi keledar dan ‘motorcycle fork lock’.

"Kita masih mengesan suspek lain yang terlibat dalam pergaduhan pada petang Rabu selepas satu kejadian kemalangan berlaku di lebuh raya berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata. Permohonan reman terhadap semua suspek yang ditangkap akan dibuat pada hari ini (Khamis) di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas mengenai kejadian berkenaan, Soffian berkata, pergaduhan berlaku selepas satu kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan mozek dan dua buah kenderaan lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari arah Bayan Lepas menghala ke pusat bandar.

Katanya lagi, pergaduhan melibatkan sekumpulan individu itu telah dirakam orang awam dan tular di media sosial sejak petang Rabu.

"Beberapa klip video tular di media sosial mengenai insiden berkenaan yang mana ia dirakam oleh orang awam kira-kira jam 2 petang.

"Hasil siasatan, pergaduhan tersebut melibatkan sekumpulan individu terdiri daripada pekerja-pekerja penarik kereta. Ia dikatakan berpunca daripada perselisihan faham berkaitan urusan menarik kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan," katanya.

Kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira 5 kilometer di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Selain polis, anggota warden trafik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut mengawal lalu lintas di lokasi kejadian bagi melancarkan pergerakan kenderaan.

Trafik kembali lancar selepas pembersihan mozek yang bertaburan di kawasan kemalangan dilakukan petugas MBPP.

Beliau menambah, anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang berada di lokasi kejadian cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun gagal.

"Selepas gagal meleraikan pergaduhan, anggota bertugas telah mendapatkan bantuan daripada anggota polis Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Timur Laut.

"Apabila anggota MPV dan URB sampai di lokasi kejadian, kesemua individu berkenaan melarikan diri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram