'Ramai keliru logo PH berbanding logo BN' — Nik Nazmi


  • Politik
  • Khamis, 27 Jan 2022

PEMILIHAN logo PKR oleh PH pada PRN Johor disifatkan satu strategi dan taktik terbaik. — Facebook

KEPUTUSAN Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu strategi untuk mencapai keputusan terbaik.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, logo PKR lebih dikenali pengundi berbanding parti itu menggunakan logo PH dan ia juga menjadi faktor penting bagi kerusi separa bandar yang sering ditandingi PKR.

“Penting kita ingat logo PH hanya diperkenal pada 2017 selepas Parti Pribumi Melayu Malaysia (Bersatu) sertai. PH ditubuhkan pada 2015.

“Lambang anak panah ini tidak semestinya sebahagian dari identiti asal. Kita bergerak dua tahun tanpa logo ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu, Nik Nazmi mendakwa logo PH tidak banyak membantu parti gabungan tersebut semasa PRN Melaka.

Jelasnya, ramai pengundi mengatakan bahawa mereka tidak mengenali logo PH berbanding logo 'dacing' Barisan Nasional (BN).

“Selain itu, penggunaan logo PKR juga disebabkan akar umbi dan penyokong parti yang menggesa perkara ini.

“Ia juga termasuk bagi mengukuhkan kumpulan kartel dalam PKR yang bersekongkol dalam langkah sheraton yang akhirnya menumbangkan PH,” katanya.

Tambah Nik Nazmi, terbukti berkesan menggunakan logo PKR apabila PH memenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)

“Logo PKR digunakan pada PRU14 dan kesannya amat baik. Logo PH kalau hendak dibandingkan, belum diuji di peringkat nasional,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, PH sememangnya fleksibel dalam menggunakan logo di beberapa pilihan raya.

“Contoh, PKR guna logo sendiri pada PRK (Pilihan Raya Kecil) Sungai Kandis, DAP pula guna roket pada PRK Sandakan.

“Malah pada PRN Sabah, DAP dan Amanah guna logo Warisan. Walaupun Warisan bukan sebahagian dari PH.

“Pakar tidak membantah pada waktu itu dan kali ini DAP dan Amanah pula tidak membantah keputusan PKR untuk PRN Johor,” katanya.

Jelas Nik Nazmi, PH akan kekal utuh dan padu dalam menghadapi PRN Johor bagi mempertahankan hak rakyat Malaysia.

Pada Rabu, Majlis Presiden PH menerusi kenyataan berkata, PKR akan menggunakan logonya sendiri semasa PRN Johor sementara Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP kekal menggunakan logo PH.

Menurut kenyataan, keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan khusus mengenai persediaan menghadapi PRN Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram