PENDEKATAN dan kaedah pelaksanaan JKMPay perlu dikaji semula oleh pihak kerajaan supaya tidak memberi sebarang kesulitan atau kesukaran serta tidak ada orang kurang upaya (OKU) tercicir dalam mengguna pakai platform terkini, kata Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu membuat satu kajian dalam kalangan komuniti OKU mengenai pelaksanaan JKMPay sebelum program rintis itu diperluaskan.
“Kementerian seharusnya melaksanakan program kesedaran penggunaan e-wallet (e-dompet) atau e-pay kepada komuniti OKU termasuklah mendedahkan kelebihan penggunaan Touch 'n' Go e-wallet, Grab Pay, Boost, Fave dan lain-lain.
“Keduanya, kementerian juga perlu bekerjasama dengan pertubuhan dan NGO berkaitan komuniti OKU untuk menyampaikan maklumat berkenaan penggunaan JKMPay dan usaha kerajaan dalam melahirkan masyarakat digital.
“Ketiga, perlu mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh beberapa kategori OKU seperti OKU fizikal jika JKMPay ini dilaksanakan di beberapa premis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ras Adiba berkata, beliau menyokong penuh tindakan kerajaan yang ingin memacu transformasi perkhidmatan digital sektor awam yang menyokong ke arah kewujudan masyarakat digital.
Tambahnya, namun pelaksanaan secara segera ini telah menyebabkan ramai OKU di luar sana mengalami kesukaran.
“Saya terima banyak aduan dari komuniti OKU berkenaan pembayaran bantuan kebajikan menerusi JKMPay yang sedang dilaksanakan oleh KPWKM,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram