41 penagih, tokan dadah kena cekup di Felda Bukit Jalur, Felda Sungai Kelamah dan Felda Jelai 4


  • 112
  • Ahad, 23 Jan 2022

POLIS turut merampas dadah jenis heroin dianggar seberat 99 gram dan syabu seberat 17 gram keseluruhannya dianggar bernilai RM6,400.

POLIS menahan 41 lelaki dan seorang wanita disyaki penagih dan tokan dadah dalam serbuan Ops Tapis Khas dan Ops Sarang di tiga kawasan Felda sekitar Tampin, Negeri Sembilan pada Jumaat dan Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superitendan Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua mereka yang berusia 27 hingga 65 tahun ditahan di Felda Bukit Jalur, Felda Sungai Kelamah dan Felda Jelai 4.

"Polis turut merampas dadah jenis heroin dianggar seberat 99 gram dan syabu seberat 17 gram keseluruhannya dianggar bernilai RM6,400," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati 12 daripada mereka mempunyai dua rekod lampau berkaitan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akan disiasat mengikut Seksyen 39C ADB 1952.

Katanya, kesemua mereka kini direman antara empat hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram