PENGGUNAAN teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang diperluaskan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari lalu, terus mendapat kecaman warganet.
Kali ini, seorang pengguna Facebook, Nik Lee berkongsi keluhannya tentang sistem pembayaran tol menggunakan RFID dan SmartTAG di lebuh raya yang didakwa tidak sistematik.
"Hati-hati kawan. Kalau masuk tol lebuh raya guna RFID, keluar juga kena guna RFID. Kalau guna SmartTAG, ia anggap kita masuk lebuh raya tanpa rekod dan caj maksimum akan dikenakan.
"Jangan guna RFID masa masuk jalan bertol tapi guna SmartTAG waktu keluar dari jalan tersebut. Pengendali tol akan mengenakan caj maksimum mengikut jarak perjalanan paling jauh laluan itu.
"Semalam (Ahad), saya masuk lebuh raya PLUS di Plaza Tol Sungai Besi menggunakan RFID. Guna RFID akan tolak wang kita dari e-dompet.
"Saya keluar di Tol Kajang menggunakan laluan SmartTag kerana laluan RFID sesak. Guna SmartTag, dia caj kad Touch n Go (TnG) saya.
"Sepatutnya saya dikenakan caj kurang RM1 tetapi mereka caj RM43.46 berdasarkan kadar jarak perjalanan paling jauh menggunakan lebuh raya itu," dakwanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mendesak Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof agar memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram