Kuarantin tujuh hari jika lengkap vaksinasi, tidak bergejala


  • Primer
  • Sabtu, 15 Jan 2022

KHAIRY memaklumkan KKM meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi varian Omicron. — The Star

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan perintah pengasingan ke atas kes positif Covid-19 bagi semua jenis varian adalah selama tujuh hari bagi mereka yang telah lengkap vaksinasi dan tidak bergejala.

Sementara bagi kes positif Covid-19 bagi semua jenis varian yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi atau bergejala dikenakan perintah pengasingan selama 10 hari.

Menurut Menterinya, Khairy Jamaluddin, perintah kuarantin bagi kontak rapat kepada kes positif Covid-19 termasuk jangkitan varian Omicron adalah selama lima hari ke atas individu yang mendapat dos penggalak dan tujuh hari bagi individu yang lengkap vaksinasi dan yang belum lengkap atau tiada vaksinasi.

"Sekiranya bergejala, lakukan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 menggunakan RTK-Ag, sama ada kendiri atau ke fasilti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut hari ini. Keputusan ujian kendiri hendaklah di masukkan ke dalam MySejahtera,” jelasnya menerusi kenyataan dikeluarkan pada Sabtu.

Tambahnya, kontak rapat juga perlu menjalani ujian RTK-Ag sama ada di fasiliti kerajaan atau swasta pada hari kelima (untuk kuarantin lima hari) dan hari ketujuh (untuk kuarantin tujuh hari) dan diberi pelepasan kuarantin pada hari yang sama ujian pengesanan RTK-Ag dijalankan sekiranya keputusan adalah negatif dan tidak bergejala.

Khairy berkata, kesemua prosedur baharu pengasingan dan kuarantin itu berkuat kuasa esok dan turut terpakai kepada mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin.

Ujarnya lagi, ketetapan baharu itu dibuat selepas KKM membuat penilaian semula bagi tempoh pengawasan dan pemerhatian berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat kepada kes positif.

Menurut Khairy, prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai.

Beliau berkata, KKM juga meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.

"Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan gejala jangkitan Covid-19 yang teruk serta komplikasinya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram