KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengenal pasti punca berlaku kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi di negeri itu berikutan terdapat kegiatan penyelewengan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, berikutan itu pihaknya telah meningkatkan risikan dan intipan di gudang serta kilang yang menjalankan pembungkusan dan pemborong bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan barangan itu.
"Kami ada terima aduan berhubung kekurangan bekalan minyak masak paket sama ada melalui media sosial atau secara rasmi, saya memandang serius mengenai perkara tersebut malah kami akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab melakukan penyelewengan,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, terdapat 25 syarikat yang menjalankan pembungkusan minyak masak paket dan 500 pemborong di Pulau Pinang ketika ini dengan pemantauan serta risikan turut dijalankan ke atas mereka bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan.
"Hasil maklumat dan risikan yang dibuat, baru-baru ini (24 Disember) kami telah menyerbu sebuah premis tidak berlesen di Bagan Ajam yang menjalankan kegiatan pemindahan minyak bersubsidi membabitkan 20 tan minyak masak dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan pihak yang terlibat.
Katanya, modus operandi yang digunakan sindiket itu ialah dengan mengupah pihak ketiga bagi menguruskan pemindahan minyak dan mereka dipercayai menjalankan kegiatan tersebut lebih tiga bulan lepas. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram