Ibu tunggal bertabah tiga anak kembar kongsi sepasang baju sekolah


  • Massa
  • Jumaat, 14 Jan 2022

DINEM bersama tiga anak kembarnya dari kiri Muhammad Hafizzul Mohd Zaini, Norsyafiqah Mohd Zaini, Muhammad Amirul Mohd Zaini masing-masing masih bersekolah di tingkatan tiga. — MyFundAction

NASIB ibu tunggal dalam membesarkan tiga orang anak kembarnya semakin membimbangkan selepas menjadi mangsa banjir di Kg Rancangan Tanah Baharu (RTB), Bukit Changgang, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Dinem Samijo, 51, yang merupakan peniaga nasi lemak itu terpaksa menggunakan semua wang simpanannya untuk memulakan semula perniagaannya.

“Duit simpanan semua saya gunakan untuk membaiki kereta, motorsikal dan membeli periuk nasi yang besar untuk saya mulakan perniagaan nasi lemak.

“Kawan anak-anak semua sudah mula bersekolah tetapi mereka terpaksa berganti-ganti ke sekolah kerana hanya ada satu baju sekolah sahaja," kata Dinem atau lebih mesra dipanggil Kak In yang menjadi ibu tunggal sejak 5 tahun lalu.

Dinem menceritakan, setiap pagi jika dia terlepas untuk bangun awal, anak-anaknya yang akan kejut pada jam dua hingga ke tiga pagi untuk menyediakan nasi lemak.

“Banjir di Bukit Changgang merupakan kali ketiga berlaku sejak 15 tahun dahulu. Kali pertama berlaku semasa 2008, kedua 2013 dan tahun ini yang paling teruk,” katanya lagi yang sudah bermastautin di Malaysia lebih dari 15 tahun.

Dalam pada itu, melihat nasib ibu tunggal itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyFundAction dengan kerjasama Surau Al-Furqan, Putrajaya telah menyerahkan barangan berupa kotak makanan Rezeki Ummat, pakaian sekolah, dapur, periuk nasi serta wang tunai bernilai RM100 pada Selasa.

“Masyarakat yang ingin bersama-sama dalam membantu mangsa-mangsa banjir seperti ini sangat kami alu-alukan,” kata Shahidah Othman, Pegawai Operasi MyFundAction. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram