Dua PPV intergrasi di KL beroperasi mulai Sabtu


  • Primer
  • Jumaat, 14 Jan 2022

SEBANYAK 9,000 dos penggalak akan diberikan setiap sehari di kedua-dua PPV integrasi tersebut. — The Star

DUA pusat pemberian vaksin (PPV) Integrasi iaitu World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Axiata Arena, Bukit Jalil, di Kuala Lumpur sudah bersedia sepenuhnya bagi operasi pemberian dos penggalak bermula Sabtu.

Penyelaras PPV Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Misliza Ahmad berkata, segala persiapan sudah dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sejak Rabu lepas termasuk operasi percubaan pada JumaatK, bagi membolehkan kedua-dua PPV dos penggalak AstraZeneca itu beroperasi dengan lancar.

"Hari ini kita ada buat sesi percubaan pada setiap kaunter dari hadapan sehingga kaunter akhir siap divaksinasi untuk memastikan aliran perjalanan berjalan lancar,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pada masa sama, Dr Misliza berkata, lebih 300 petugas dan sukarelawan terdiri daripada Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu dalam program imunisasi di PPV tersebut.

Beliau berkata, PPV WTCKL menyediakan 9,000 dos penggalak sehari, manakala PPV Axiata Arena sebanyak 8,000 dos penggalak dengan setiap individu akan mengambil masa kira-kira 30 minit bagi menyempurnakan proses vaksinasi mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, pada Jumaat sempat meninjau persiapan pembukaan PPV di pusat perdagangan tersebut.

Beliau berkata, WTCKL kali ini turut menyediakan kaunter penjualan makanan untuk keselesaan penerima vaksin di PPV itu.

"Kami juga bekerjasama dengan seluruh pemilik bangunan di sekitar WTCKL bagi memastikan tempat letak kereta mencukupi,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PPV, dos penggalak, integrasi, WTCKL, Axiata Arena