
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor diyakini boleh menjadi picu kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dipercayai akan turut dilaksanakan tahun ini.
Ketua Penerangan Umno Selangor, Isham Jalil berkata, perkara itu melihat kepada asas melaksanakan PRN sendiri yang mana tuntutan kepada kestabilan politik adalah perkara utama.
Justeru, katanya, sekiranya Johor menjadi salah satu lagi negeri melaksanakan PRN atas dasar berkenaan mengapa pula negara perlu menangguhkan lagi perkara seperti ini.
“Terdapat kepentingan untuk melaksanakan PRU dengan segera bukan kerana BN mahu sangat berkuasa, tetapi kestabilan politik itu sendiri yang boleh memberi impak dalam pelbagai sudut.
“Kita sudah lihat beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK), kemudian PRN di Melaka dan Sarawak. Jika benar selepas ini Johor, adakah kita perlu menunggu ada lagi PRN lain. Di peringkat pusat sekarang juga bukan mempunyai majoriti besar dan kestabilan itu masih belum dijamin.
"Kerajaan yang menerima mandat daripada rakyat akan lebih stabil sekali gus mampu membawa masuk pelaburan asing yang akan turut membawa masuk pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Tautan Kasih Eratkan Silaturahim Veteran Umno Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di Johor Bahru pada Rabu.
Sebelum ini, khabar angin mulai tersebar luas mendakwa PRN Johor akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan negeri kini hanya mempunyai majoriti kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding pembangkang 27. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram