MALAYSIA mencatatkan peningkatan kes baharu positif Covid-19 pada Selasa dengan rekod 3,175 kes berbanding 2,641 kes pada Isnin.
Jumlah itu menjadikan angka kumulatif kes bertambah kepada 2,792,035 kes setakat ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berdasarkan jumlah semasa, sebanyak 2,903 kes merupakan kes tempatan manakala selebihnya, 272 kes pula merupakan kes import.
"Sebanyak 229 kes pula direkod memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 99 kes lagi memerlukan bantuan alat pernafasan.
"Selain itu, sebanyak 2,977 kes sembuh pula direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan bertambah kepada 2,720,399 kes," katanya menerusi status laman sosial Facebook pada Selasa.
Sementara itu, dalam hantaran dalam hantaran berbeza, Noor Hisham turut memberitahu, sebanyak 16 kluster Covid-19 melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi dikesan bagi tempoh 25 November 2021 hingga Selasa dengan tujuh kluster daripadanya melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.
Menurutnya lagi, enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron (berkemungkinan) yang sedang menunggu keputusan jujukan genom penuh (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.
"Punca penularan disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia.
"Selain itu, semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi," ujarnya.
Tambahnya lagi, situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan itu dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat.
Dr Noor Hisham turut berkata, sebanyak 456 individu dalam kluster jemaah umrah itu telah disaring dan didapati 219 kes positif yang menjadikan kadar positif sebanyak 48 peratus.
Jelasnya, kesemua 219 kes tersebut dalam kategori satu dan dua, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 99 kes baharu varian yang membimbangkan (VOC) telah dilaporkan sejak 3 Januari lepas sehingga semalam dengan 91 kes baharu varian Delta dan lapan kes baharu varian Omicron. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram