JKR Sabah respons isu pelajar bawa kerusi panjat pembahagi jalan Pan Borneo


  • Primer
  • Rabu, 12 Jan 2022

TULAR pada Selasa sebuah gambar pelajar sekolah membawa kerusi untuk memanjat tembok pembahagi jalan Pan Borneo kerana pengangkutan bas sekolah ke Tebobon tidak lagi beroperasi atas alasan terlalu jauh untuk membuat pusingan.

Pelajar wanita itu didakwa tinggal di Taman Putrajaya, Telipok dan gambar tular itu di ambil ketika dia hendak pergi ke sekolah di Tebobon, Menggatal, Sabah.

"Punca utama hal itu berlaku apabila lampu isyarat simpang keluar masuk Taman Putrajaya dahulu dihapuskan kontraktor Pan Borneo dan akhirnya penduduk yang tinggal di Taman itu menanggung akibatnya," demikian dakwaan berdasarkan hantaran Facebook Sabah Media.

HANTARAN dari Sabah Media

Ekoran gambar tular itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memberi respons memberitahu bahawa mereka mengambil maklum kerisauan penduduk Taman Putrajaya mengenai tembok jalan yang menghalang pejalan kaki dan pelajar untuk ke seberang jalan.

JKR Sabah berkata, pihak mereka telah menyediakan laluan pejalan kaki sementara dengan lampu isyarat bagi memudahkan pengguna di kawasan itu gunakannya.

"Untuk makluman, laluan pejalan kaki sementara dengan lampu isyarat (beserta kemudahan push stop button) telah disediakan sejak akhir bulan Disember 2021 bagi membolehkan pejalan kaki menyeberang jalan. Laluan itu terletak 80 meter dari simpang keluar Taman Putrajaya.

"Pejalan kaki adalah dinasihatkan untuk menggunakan laluan pejalan kaki ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," kata JKR Sabah dalam kenyataan di Facebook.

Tambah JKR Sabah lagi, selain daripada kemudahan lampu isyarat itu, pihak mereka turut mengambil inisiatif untuk membina jejantas untuk pejalan kaki dalam tempoh pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram