Fomca bimbang kenaikan kadar tarif baharu elektrik, bebankan pengguna domestik


  • Massa
  • Selasa, 11 Jan 2022

TARIF baharu elektrik dijangka akan memberi manfaat khususnya kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara. — The Star

GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta kerajaan supaya tidak meningkatkan sebarang kadar tarif baharu elektrik yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Presidennya, T Saravanan berkata, sebarang kenaikan pada tarif meskipun hanya membabitkan akaun industri dan komersial, namun impaknya kepada akaun domestik tetap ada.

Katanya, hal ini menyebabkan kos operasi bagi sektor perniagaan meningkat, sekali gus akan memberi impak serta meningkatkan kos sara hidup pengguna.

Tambahan pula, katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira isu pandemik Covid-19 yang masih belum selesai, yang menyebabkan orang ramai terkesan termasuk kehilangan pekerjaan, kekurangan pendapatan serta kerugian ditanggung sektor perniagaan.

"Malah, ramai juga rakyat terkesan dengan isu banjir. Kita pun kena tengok kenaikan harga makanan dan barangan pada tahun lepas.

"Baru-baru ini menteri KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna) pun ada beritahu rakyat supaya bersedia dengan kenaikan (harga) barang.

"Jadi, apabila menteri dah beritahu memang akan ada kenaikan harga barang, maksudnya kenaikan tarif ini pun akan beri kesan besar kepada harga barangan," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, kerajaan memberi jaminan tarif baharu elektrik yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi tahun ini sehingga 2024 tidak akan membebankan rakyat, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau pada Ahad berkata, tarif baharu itu juga akan memberi manfaat khususnya kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara.

"Keadaan negara sekarang yang baru pulih daripada pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi berikutan wabak itu telah menjadi pertimbangan kepada kerajaan dalam menentukan kadar tarif elektrik baharu.

"Kerajaan telah mengkaji (perkara itu) dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. Namun saya menjamin ia (tarif elektrik) tidak akan membebankan rakyat khususnya pemilik akaun domestik iaitu akaun rumah,” kata Takiyuddin sambil menambah tarif baharu turut melibatkan akaun industri dan komersial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram