PELAKON drama dan filem serta dua yang lain didenda oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Isnin selepas mengaku bersalah memiliki dan mengambil dadah, Oktober tahun lalu.
Majistret Mohd Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman denda RM4,000 masing-masing terhadap pelakon, Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 30, dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail, 48, manakala denda RM3,800 terhadap pengarah, Mohd Latiff Zami, 50, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan secara berasingan.
Mohd Shazmeer turut memerintahkan Muhamad Niezam dan Saiful Zaidrin menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun, manakala Mohd Latiff selama tiga tahun.
Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan, jika mereka gagal membayar denda. Mereka membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Muhamad Niezam dan Mohd Latiff masing-masing didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 0.60 gram dan 0.20 gram di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, Kuala Kangsar kira-kira jam 7.15, 10 Oktober 2021.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.
Saiful Zaidrin pula didakwa memiliki 0.03 gram dadah berbahaya jenis methamphetamine di tempat, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga mereka turut didakwa memasukkan dadah jenis THC dan methamphetamine ke dalam badan di pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar antara pukul 9.50 hingga 10.05 pagi hari yang sama.
Untuk kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Hennie Soraya Hanafi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Sebelum ini, dilaporkan kesemua mereka ditahan di lokasi penggambaran di sebuah rumah inap desa di taman berkenaan.
Muhamad Niezam sebelum ini terkenal dengan lakonan dalam filem ‘Budak Pailang’ dan ‘Highland Tower’, selain drama seperti ‘Diari Platun’, ‘Dewi Lasak’ dan ‘Mencintaimu’. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram