TULAR di media sosial baru-baru ini tentang tawaran perkhidmatan pemalsuan sijil digital vaksin dalam aplikasi MySejahtera.
Berdasarkan gambar yang ditangkap layar daripada aplikasi WhatsApp, sindiket itu menawarkan perkhidmatan tersebut dengan bayaran RM2,500 seorang.
Selepas pembayaran dibuat, sindiket tersebut akan mengemaskini status 'pelanggan' di MySejahtera dalam tempoh seminggu.
Menurut sumber kesihatan yang dihubungi Majoriti, perkhidmatan tersebut amat mencurigakan kerana tempoh masa diperlukan untuk membuat kemaskini tersebut.
"Sedangkan jika log masuk hari ini, data akan dimuat naik dalam sistem pada hari ini juga.
"Jika tiada gangguan sistem, status vaksinasi akan segera dikemaskini dalam MySejahtera, itu yang berlaku di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV).
"Prosesnya pula perlu bayar terlebih dahulu dan berkemungkinan ini satu penipuan namun perkara tersebut perlu disiasat oleh polis.
"Perkara ini berkaitan integriti namun hanya boleh dibuktikan melalui siasatan polis. Apabila polis selesai menjalankan siasatan, baru boleh sahkan sama ada ia satu sindiket penipuan atau tidak," ujarnya.
TANGKAP layar perkhidmatan berkenaan yang ditawarkan di WhatsApp. — Twitter
Tambah sumber itu lagi, sindiket berkenaan dilihat cuba mengambil kesempatan dalam situasi segelintir golongan yang enggan mengambil vaksin.
"Tanpa perlu mengambil vaksin, mereka hanya mahu status vaksinasi mereka dikemas kini untuk digunakan atas apa jua alasan.
"Orang ramai boleh membuat aduan kepada polis atau menggunakan Sistem Pengaduan Awam Kementerian Kesihatan (SISPAA) di https://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do berhubung perkara berkenaan," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram