Kereta api tak berhenti di Kuala Gris, kakitangan KTMB digantung tugas


  • Primer
  • Ahad, 09 Jan 2022

SIASATAN lanjut sedang dijalankan melibatkan kakitangan yang terlibat.

Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Berhad menggantung tugas kakitangan yang terlibat dalam kejadian tren Shuttle Timuran No 51 tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Kuala Krai, Kelantan pada Ahad.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan disiplin akan diambil sekiranya berlaku kecuaian oleh kakitangan terbabit dalam insiden itu.

"KTMB mengesahkan tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada pukul 4.05 pagi tidak berhenti di Hentian Kuala Gris pada 7.08 pagi.

"KTMB memandang serius dan berasa kesal dengan kejadian lebih-lebih lagi melibatkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan hari ini,” katanya.

Justeru, KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terlibat dan kesal dengan kejadian yang berlaku.

"Tindakan penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dan KTMB menjamin insiden yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 100 pelajar SMK Dabong tidak dapat mengikuti hari pertama persekolahan apabila tren yang menjadi pengangkutan mereka untuk ke sekolah itu tidak berhenti di stesen terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram