Kembali turun, catat 2,888 jangkitan baharu


  • Primer
  • Ahad, 09 Jan 2022

SEBANYAK 2,888 kes direkodkan negara pada Ahad.

MALAYSIA mencatatkan kes harian baharu Covid-19 sebanyak 2,888 pada Ahad, menurun berbanding 3,251 kes yang dicatatkan pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara kepada 2,786,219 kes setakat Ahad.

Beliau menambah, sebanyak 2,714 kes sembuh dilaporkan yang mana menjadikan keseluruhan kes sembuh 2,714,614 direkodkan pada Ahad.

"Daripada 2,888 kes harian dilaporkan pada Ahad, sebanyak 36 kes atau 1.2 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 2,852 kes (98.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (Icu) sebanyak 248 kes, sementara 117 kes memerlukan bantuan pernafasan dan terdapat satu kluster baharu turut dikesan pada Ahad,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan wabak itu.

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara kini pada 0.97 dengan Labuan merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.12 dan 1.06 bagi Sabah.

Mengenai banjir, Dr Noor Hisham berkata setakat 3 petang tadi, KKM mengesan tiga lagi kes positif dalam kalangan mangsa banjir, menjadikan jumlah keseluruhan kini 469 kes.

Katanya, KKM turut mengesan sembilan penyakit berjangkit melibatkan mangsa bencana itu merangkumi lapan kes Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (Ari) dan satu kes penyakit kulit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, Kes Harian, Menurun, Noor Hisham, Kkm