Wan Hassan dilantik Ketua Polis Kedah baharu


  • 112
  • Khamis, 06 Jan 2022

RAZARUDIN (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas antara Wan Hassan (kanan) dan Kamarul Zaman di Ibu Pejabat Polis Kedah pada Khamis. — Bernama

BEKAS Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu berkuat kuasa Khamis.

Beliau mengambil alih tugas Datuk Kamarul Zaman Mamat yang dilantik menjadi Ketua Polis Johor bagi menggantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain melaksanakan upacara pemakaian pangkat Komisioner Polis (CP) kepada Wan Hassan sebelum majlis serah terima tugas berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di Alor Setar.

Turut berlangsung, majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kedah antara Datin Suriati Muhamad dengan Sarihah Jusoh.

Wan Hassan, 55, yang berasal dari Tumpat, Kelantan menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1995 dan sepanjang 27 tahun berkhidmat, beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan dari 2014 hingga 2016 dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak dari 2016 hingga 2017.

Pada majlis itu, Razarudin dan Kamarul Zaman berharap Wan Hassan dapat menggunakan pengalaman dan pengetahuan yang ada untuk menerajui Kontinjen Kedah bagi mengekalkan momentum sedia ada selain memastikan keselamatan rakyat di negeri ini sentiasa terjaga. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram