
PENGEKALAN piawaian dalam apa jua perkara dan semua perkara yang kita lakukan adalah penting untuk kemajuan dalam mencapai matlamat.
Menurut aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, sebaik sahaja manusia berkompromi dengan piawaian sendiri terutamanya dalam akademik, di tempat kerja atau sukan, kita mula hilang tumpuan serta jatuh ke dalam jurang yang sukar dipulihkan.
"Ini benar terutamanya berhubung penggunaan bahasa, dalam kes ini adalah Bahasa Inggeris untuk tujuan komunikasi.
"Sejak akhir-akhir ini, terdapat beberapa kes di mana penggunaan Bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan organisasi perkhidmatan awam terbukti.
"Penggunaan Bahasa Inggeris yang kurang tepat dalam kes ini menjadi subjek ejekan yang tidak sepatutnya dalam media sosial," katanya.
Lam Thye memberi contoh isu melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang kembali tular pada tahun lalu.
"Dalam laman sesawang KKM, terdapat hantaran yang mengucapkan tahniah kepada seorang pegawai dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Kewangan.
"Versi bahasa Inggeris hantaran itu merujuk kepada pegawai berkenaan, Datuk Harjeet Singh namun diterjemahkan menjadi 'Grandfather Harjeet Singh'," ujarnya.
"Pangkat 'Datuk' dalam Bahasa Melayu diterjemah dengan salah sebagai 'datuk'," ujarnya.
Tambah beliau, terdapat banyak lagi contoh penggunaan Bahasa Inggeris yang lemah muncul di laman sesawang dan penerbitan kerajaan.
"Jelas sekali di mana punca masalahnya. Pegawai yang melakukan terjemahan daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris bergantung sepenuhnya kepada Google, khususnya Google Translate untuk melakukan kerja terjemahan.
"Mereka kemudiannya memuat naik teks yang diterjemah oleh 'mesin' tanpa sebarang semakan.
"Hantaran sebegitu perlu ditapis terlebih dahulu oleh pegawai bertanggungjawab yang memiliki penguasaan Bahasa Inggeris yang baik sebelum ia dimuat naik.
"Jika tidak, kesilapan sebegini pasti akan berulang, sekali gus memalukan jabatan atau agensi terlibat.
"Ia tidak mengambil masa untuk mengekalkan piawaian, tetapi memerlukan banyak usaha untuk memperbetulkannya selepas itu," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram