Wartawan akhbar Cina ditemukan mati dalam kereta di Alor Setar


  • 112
  • Selasa, 04 Jan 2022

MENURUT pihak polis, siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada apa-apa unsur jenayah.

SEORANG wartawan akhbar berbahasa Cina di Kedah ditemukan mati dalam keretanya yang diparkir di depan sebuah pusat beli-belah di Tandop, Alor Setar pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Polis, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai Ng Eng Boon, 44, yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat pemandu dengan enjin kereta masih hidup pada kira-kira 4.07 pagi.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada apa-apa unsur jenayah. Mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk ujian saringan Covid-19 dan seterusnya proses bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau kemudian memaklumkan keputusan ujian saringan Covid-19 mendiang adalah negatif dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian wartawan itu adalah akibat serangan jantung.

Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK) Kumaran Rajamoney pula berkata Ng, yang bertugas dengan Sin Chew Daily, adalah seorang kenalan yang baik dan disenangi banyak pihak.

"Kami menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada warga media Kedah,” katanya.

Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram