Had jemaah solat, aktiviti agama di Kelantan kini ikut kapasiti masjid, surau


  • Primer
  • Rabu, 05 Jan 2022

SOP pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini. — Gambar hiasan

KELANTAN yang kini berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan di masjid, surau serta musala mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal 1.6 meter, berkuat kuasa Rabu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu serta aktiviti keagamaan seperti majlis zikir, kelas al-Quran dan kuliah umum di seluruh negeri itu turut mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

"Prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini.

"Pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan SOP dinyatakan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau serta musala," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohamad Rizam berkata, sekiranya didapati mana-mana masjid, surau dan musala melanggar SOP yang ditetapkan, pihaknya akan mengarahkan supaya ia ditutup.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan Sarawak dan Kelantan beralih ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa 3 Januari lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MAIK, solat, kapasiti, PPN, MKN