Gangguan bekalan tidak jejas harga MSM


  • Bizz
  • Rabu, 05 Jan 2022

SEBANYAK 18.1 juta tan pengeluaran MSM direkodkan pada 2021. — Facebook

MAYBANK Research positif terhadap perladangan di Malaysia memandangkan kebimbangan gangguan bekalan akibat banjir sekali-sekala di seluruh negara akan terus menyokong harga minyak sawit mentah (MSM).

Maybank menjelaskan pengeluaran MSM Malaysia bagi Disember 2021 dianggarkan mencecah 1.45 juta tan, penurunan 11 peratus bulan ke bulan, menjadikan pengeluaran kepada 18.1 juta tan pada 2021.

"Berdasarkan harga yang tinggi, kami menjangkakan syarikat perladangan merekodkan satu lagi prestasi cemerlang pada suku keempat 2021,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Mengenai harga MSM, Maybank menambah, keluk harga niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives telah menunjukkan aliran tinggi sejak Mac 2020.

Menurutnya, berikutan musim hujan berterusan, operasi ladang telah terganggu dengan ketiadaan penuaian atau akses jalan ke kilang terjejas selama beberapa hari di Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kelantan dan Sabah.

"Kami memahami kerugian hasil boleh diuruskan setakat ini, diimbangi oleh harga MSM yang tinggi. Bagaimanapun, sektor ini masih belum keluar daripada kesukaran kerana musim hujan pada masa ini diramalkan berlanjutan sehingga Mac 2022.

"Sebarang gelombang banjir berikutnya atau sebarang banjir berpanjangan boleh merosakkan infrastruktur dengan teruk dan menjejaskan lagi operasi,” tambahnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram