Zakat diwajibkan bagi peniaga online yang cukup syarat


  • Mukmin
  • Rabu, 24 Nov 2021

PERNIAGAAN online merupakan salah satu industri yang melonjak semasa pandemik. — Gambar hiasan

PERNIAGAAN secara dalam talian merupakan salah satu sektor ataupun industri yang melonjak semasa pandemik ini.

Penolong Pengurus Besar Dakwah Zakat, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Khairul Azhar Samsudin berkata, peniaga dalam talian (online), ejen pesan hantar (dropship) dan mereka yang terbabit dalam perniagaan secara dalam talian adalah golongan yang layak dikenakan zakat perniagaan.

Beliau berkata, peniaga kecil yang cukup syarat dan nisabnya perlu melaksanakan tanggungjawab zakat mereka ke pejabat PPZ-MAIWP.

"Terdapat perbezaan antara zakat perniagaan dengan zakat pendapatan ataupun zakat individu kerana peniaga yang wajib membayar zakat perniagaan ini akan diberikan rebat cukai dan ia termaktub dalam cukai Pendapatan 1967.

"Kelebihan bagi peniaga yang membayar zakat perniagaan adalah zakat ini terhad kepada 2.5 peratus kepada pendapatan agregat sesebuah syarikat," katanya.

Bagi syarikat yang mempunyai pemilikan usaha sama dengan orang yang bukan Islam pula hanya perlu membayar mengikut pecahan pemilikan bagi pemilik yang beragama Islam sahaja.

"Sebagai contoh, sekiranya syarikat A mempunyai pemegang saham Aminah dan Ah Mei, maka zakat dalam perniagaan ini hanya dikira ke atas Aminah sahaja iaitu sebanyak 50 peratus.

"Kita tidak mengambil kira ke atas Ah Mei kerana syarat wajib zakat adalah seseorang itu haruslah beragama Islam," jelas beliau.

Khairul Azhar simpulkan zakat merupakan nadi dalam menggerakkan ekonomi kepada pemberi dan penerima zakat.

Oleh itu, orang ramai yang layak membayar zakat perniagaan adalah diseru untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram