Pekerja kilang maut kereta terbabas dalam parit di Port Dickson


  • 112
  • Sabtu, 01 Jan 2022

ANGGOTA penyelamat mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan. — Bomba Port Dickson

SEORANG pekerja kilang maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan dinaiki terbabas masuk ke dalam parit di Kilometer 22.2 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku pada jam 11.45 pagi berikutan jalan licin menyebabkan mangsa hilang kawalan.

Katanya, mangsa Muhammad Zulfikri Mohd Zailani, 22, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Muhammad Fawwaz'aqil Zailani, 25, yang merupakan seorang peniaga mengalami kecederaan parah pada bahagian tulang belakang.

"Siasatan awal mendapati Muhammad Fawwaz'aqil sedang memandu kereta jenis Honda Accord dari arah Teluk Kemang menghala ke Seremban.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit susulan keadaan jalan yang licin disebabkan hujan renyai ketika itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, Muhammad Fawwaz'aqil yang cedera parah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan susulan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram