TIGA negeri pantai timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami cuaca hujan sangat lebat (amaran cuaca peringkat bahaya) berterusan sehingga Jumaat 31 Disember 2021.
Amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada pukul 1.25 tengah hari, Khamis, menyebut kawasan-kawasan yang terlibat di tiga negeri itu ialah Jeli (Kelantan), Kemaman (Terengganu) dan Kuantan (Pahang).
Amaran cuaca buruk peringkat jingga iaitu hujan lebat berterusan juga dikeluarkan untuk kawasan Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan; Besut Hulu Terengganu dan Dungun di Terengganu; dan Jerantut, Maran dan Pekan di Pahang sehingga 1 Januari 2022.
Sehubungan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir secara berperingkat di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu malam Khamis.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS itu, risiko banjir diramal di Kelantan bermula pukul 8 malam di jajahan Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Gua Musang dan Pasir Mas.
Banjir juga diramal di Terengganu secara berperingkat pada 8 malam ini (30 Disember 2021) di beberapa daerah antaranya Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut, manakala risiko banjir diramal di Pahang, Jumaat (31 Disember 2021) di daerah Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut serta kawasan rendah sekitarnya.
"Kawasan lain di Pahang adalah di sekitar Sungai Kuantan, Sungai Rompin, Sungai Pontian dan Sungai Endau melibatkan kawasan di sekitar Kuantan dan Rompin," menurut kenyataan itu.
Bagi negeri Johor, banjir diramal pada pukul 2 petang, Jumaat (31 Disember 2021) melibatkan kawasan di sekitar Sungai Mersing, sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Skudai dan Sungai Tebrau melibatkan daerah Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Sementara itu, amaran peringkat waspada iaitu hujan berterusan sehingga 1 Januari 2022 diramal di Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling); Perak (Hulu Perak); Kelantan (Tumpat Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih); Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin) serta Johor.
Hujan berterusan juga dijangka di Sabah melibatkan pantai barat (Ranau); Tawau (Lahad Datu); Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan); serta Kudat sehingga 2 Januari 2022.
Berikutan itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.
Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga diminta memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan, menurut kenyataan itu.
Nadma melalui NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram