Maksima penglibatan golongan muda


  • Massa
  • Jumaat, 31 Dis 2021

PENYERTAAN anak muda dari segi politik, sosial dan ekonomi dapat memperkasakan lagi peranan belia di negara ini.

KERAJAAN dituntut supaya memperbanyakkan lagi penyertaan anak muda dari segi politik, sosial dan ekonomi untuk memperkasakan lagi peranan belia di negara ini.

Presiden Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya (UM), Lim San Shien berkata, penglibatan golongan muda dalam ketiga-tiga cabang itu adalah penting untuk membina seorang anak muda yang matang dan berkebolehan dalam membangunkan negara.

"Mungkin setiap parti politik boleh buat inisiatif untuk memberi kuota kepada anak muda dengan melakukan satu resolusi untuk memberi kuota kepada calon belia contohnya 50 atau 30 peratus berdasarkan kelayakan mereka.

"Belia juga boleh diberi peluang untuk menyertai Ahli Lembaga syarikat untuk mendapatkan pengalaman contohnya berkhidmat di bawah agensi kerajaan atau juga syarikat swasta lain," katanya kepada Majoriti.

ED8oiaQUcAANKM7-2

PRESIDEN Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya (UM), Lim San Shien. — Twitter

Selain itu, katanya, kerajaan boleh memberi ruang kepada untuk anak muda bersuara dengan memudahkan lagi proses pendaftaran pertubuhan belia di negara ini.

Tambah beliau, pertubuhan-pertubuhan belia harus diberi peranan yang lebih besar dalam acara melibatkan kerajaan, contohnya menjadi penganjur bersama dalam program atau majlis tertentu supaya mereka mendapat lebih banyak pengalaman dan pengetahuan.

Mengulas lanjut, San Shien berkata, golongan muda juga perlu mengambil inisiatif tertentu dalam melengkapkan diri bagi mengambil peranan yang lebih penting dalam membangunkan negara.

Katanya, antara perkara yang boleh dilakukan oleh anak-anak muda adalah cakna mengenai isu semasa dan melengkapkan diri dengan ilmu melalui pembacaan buku-buku ilmiah.

"Anak muda juga perlu proaktif untuk mencari maklumat serta mendekati masyarakat, mereka tidak boleh segan silu untuk memulakan program atau projek kemasyarakatan supaya mereka lebih faham apa yang boleh disumbangkan kepada kawasan tersebut ataupun kepada negara secara umumnya.

"Selain itu, mereka juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah. Untuk menjadi seorang pemimpin yang holistik, pelajar bukan sahaja perlu ada rekod yang baik, tetapi mereka harus menyertai pelbagai program dan banyak bercakap di hadapan orang ramai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram