Petisyen bantahan awal DUN Sungai Udang didengar 7 dan 11 Februari


MOHAMAD Ali mendakwa Dr Mohd Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu. — Agensi

MAHKAMAH Tinggi Melaka menetapkan 7 dan 11 Februari 2022 untuk mendengar bantahan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan dua lagi terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang tewas pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini.

Dua lagi ialah Dr Mohd Aleef Yusof daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN itu semasa pilihan raya yang berlangsung pada 20 November 2021.

Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavaty yang mewakili SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya berkata tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan Datuk Azman Abdullah semasa pengurusan kes pada Khamis. Azman dilantik untuk mendengar petisyen itu.

Pada 14 Disember 2021, Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen itu bagi membatalkan kemenangan Dr Mohd Aleef, 35, atas dakwaan terdapat unsur rasuah pada PRN di kawasan tersebut.

Beliau menamakan Dr Mohd Aleef, yang menang dengan majoriti 530 undi dalam pertembungan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang dan SPR sebagai responden.

Dalam petisyennya, Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleef sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Hang Tuah Jaya sebelum dicalonkan oleh Bersatu untuk bertanding di Sungai Udang.

Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleef tidak pernah dipilih sebagai ADUN dan tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya di kawasan itu dan bergantung kepada Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz untuk memperkenal beliau kepada pengundi.

Ikmal Hisham adalah bekas ahli Umno yang menyertai Bersatu selepas BN tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau telah meletakkan jawatan dalam Umno sebelum menyertai Bersatu pada 2019.

Mohamad Ali mendakwa Dr Mohd Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau memohon perisytiharan bahawa Dr Mohd Aleef tidak dipilih dengan sewajarnya dan PRN di kawasan itu adalah terbatal serta perintah atau relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram