Harapan 2022: Nilai semula gaji menteri, beri kepentingan gaji rakyat


  • Massa
  • Jumaat, 31 Dis 2021

PELARASAN semula gaji perlu dilakukan mengikut kepada kos sara hidup yang kian meningkat.

KERAJAAN sepatutnya menilai semula kemudahan dan gaji yang diberikan kepada Menteri untuk memastikan kadar gaji dapat diselaraskan dengan kos sara hidup semasa.

Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, kenaikan harga barang berlaku secara mendadak dan tidak selari dengan gaji semasa.

Prof Madya Dr Abu Sofian mahu gaji penjawat awam dikaji semula. — Facebook

“Apa yang boleh dilakukan sekarang ialah dengan menilai semula skema gaji khususnya penjawat awam supaya dinaikkan sama dengan kos sara hidup.

“Selain itu, kemudahan yang diberikan kepada Yang Berhormat dan Menteri juga perlu dikaji semula kerana kos perbelanjaan itu besar dan ditanggung oleh rakyat.

“Di Scandinavia misalnya, Menteri tidak diberikan kenderaan rasmi dan hanya diberikan sebuah bilik sahaja untuk berehat.

“Jadi lebih baik duit itu kita gunakan kepada rakyat menerusi gaji dan sebagainya,” katanya kepada Majoriti.

Menurut Abu Sofian, kaedah lain berkenaan gaji yang boleh dinilai semula adalah seperti mengikut ukuran indeks harga pengguna (CPI).

Jelasnya, harga gaji akan naik secara tahunan berdasarkan kenaikan harga barang dan ini tidak akan membebankan pengguna.

“Selain itu, kita juga boleh menilai kenaikan gaji tahunan mengikut tahap inflasi sesebuah negara.

“Di United Kingdom (UK), mereka mengamalkan kaedah begini iaitu jika kadar inflasi naik tiga peratus, maka gaji juga akan naik dengan jumlah peratusan sama.

“Bila ini berlaku, kenaikan harga barang tidak akan memberi kesan kepada pengguna kerana gaji masih mampu menampung kos sara hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Sofian juga berharap supaya syarikat swasta dapat memberikan gaji yang setimpal kepada pekerja mereka.

Tambahnya, tiada siapa boleh mengawal gaji melibatkan syarikat swasta tetapi biarlah gaji yang diberi itu selari dengan tahap ekonomi semasa dan keuntungan yang diperoleh syarikat.

Saravanan berharap isu gaji dapat dikawal daripada harga barang. — Facebook

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Saravanan Thambirajah juga berkata yang kenaikan gaji akan memberi kesan positif kepada masyarakat sekaligus dapat mengurangkan kesan pandemik Covid-19.

"Peningkatan gaji juga akan memberikan pengguna mempunyai kuasa yang lebih untuk membeli dan ini akan mengukuhkan lagi ekonomi negara," katanya.

Ujar Saravanan lagi, disebabkan itu kerajaan perlu bertindak mengawal harga barangan supaya kenaikan itu tidak terlalu mendadak berbanding gaji.

Katanya lagi, banyak cara untuk mengawal harga barangan termasuklah meningkatan sektor pertanian negara dan elok bergantung kepada import sahaja.

"Isu gaji ini perlu diteliti bermula dengan harga barang kerana sebarang kenaikan gaji akan memberi kesan kepada ekonomi.

"Kalau kos operasi tinggi, pelabur akan lari. Jadi kerajaan perlu kawal makanan supaya gaji yang ada sekarang selari dengan kos sara hidup," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

massa, abu sofian, pakar ekonomi, gaji, awam, swasta, menteri,