TERPAKSA menghentikan penggambaran angkara Covid-19 dan ditayangkan pula ketika musim banjir melanda negara.
Namun, siapa sangka dek kerana dugaan itu tidak menghalang drama Saat Kau Takluk Cinta Ini terus mendapat tempat di hati penonton tempatan.
Bersyukur dengan hasil kejayaan drama itu, penerbitnya, Jaha Ishak berkata, dia tidak menjangka drama tersebut akan mendapat tempat di hati penonton.
"Memang banyak cabaran yang kita hadapi untuk menyiapkan drama ini. Kami telah memulakan penggambaran pertengahan tahun ini sebenarnya.
"Namun dek kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika itu, kami terpaksa menangguhkan penggambaran dan menyambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Apa-apa pun saya bersyukur kerana dapat menyiapkan naskhah ini seperti mana yang dijadualkan. Melihatkan sambutan hangat daripada peminat, itu menambahkan lagi semangat kami," katanya.
Dalam pada itu, Jaja juga bersyukur kerana dia mendapat kerjasama yang baik daripada barisan pelakon hebat di dalam drama itu.
“Semua memberikan kerjasama yang baik dan dalam masa yang sama terus menghidupkan watak mereka. Saya harap drama ini terus diterima ramai dan memberikan sesuatu yang baharu kepada semua,” kata Jaja lagi.
Selain Idris Khan dan Intan Najuwa, Saat Kau Takluk Cinta Ini turut dibintangi oleh Wafariena, Shakilla Koriri, Shazwan Zulkifly, Wan Maimunah, Raja Azmi, Farhan Asri, Jasmin Hamid dan ramai lagi.
Terdahulu, Jaja melancarkan lagu Takdir nyanyian Aliff Iskandar yang dijadikan runut bunyi untuk drama ini. Lagu tersebut boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music dan boleh juga didengar melalui semua platform digital. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram