'Tak mahu PKP, kena patuh SOP'


  • Massa
  • Jumaat, 31 Dis 2021

PEMATUHAN SOP dalam kalangan masyarakat adalah penting untuk mencegah penularan Covid-19.

KERAJAAN diseru supaya mengetatkan lagi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat bagi mengekang penularan Covid-19, terutama dengan kehadiran varian Omicron.

Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkornain Ahmad berkata, beliau tidak menolak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sekali lagi jika kes meningkat dengan mendadak semula selepas ini.

"Kita lihat sekarang ni ramai yang mula alpa dan lalai dalam pematuhan SOP. Jadi mungkin itu disebabkan jumlah kes di negara kita masih lagi tinggi.

"Kalau kes mula tinggi selepas ini disebabkan varian Omicron, mungkin menguatkuasakan PKP adalah jalan terbaik kerana virus tersebut berjangkit melalui sentuhan.

"Jika dilihat dahulu, apabila kita melaksanakan PKP kes di negara ini semakin menurun," katanya kepada Majoriti.

Screenshot 2021-12-31 at 12.21.11 AM

PAKAR Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkornain Ahmad. — Facebook

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan supaya pengambilan dos penggalak diperluas kepada semua rakyat tanpa mengira jenis vaksin atau umur penerima seperti yang dikuatkuasakan sekarang.

"Kalau kita lihat buat masa ini dos penggalak merupakan inisiatif terbaik kita dalam mengekang penularan Covid-19 yang tiba dengan varian terbaharu Omicron, selain penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.

"Itu sahaja cara ia berjangkit, lagipun terdapat negara-negara di luar kini sudah mewajibkan pengambilan dos ketiga," katanya.

Bagaimanapun, tegas Zulkornain, seseorang itu masih boleh diserang virus Covid-19 walaupun sudah mendapatkan suntikan dos penggalak, disebabkan itu beliau menekankan tentang pematuhan SOP dalam masyarakat untuk mencegah penularan Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram